Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, sekiranya barisan peneraju UMNO yang baharu tidak diterima oleh keseluruhan masyarakat, dikhuatiri usaha menaikkan semula parti sukar direalisasikan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan setiap mereka yang terpilih untuk bertanding sebaik-baiknya ditapis oleh ahli-ahli bagi memastikan pemimpin yang dipilih mempunyai kualiti.

“Lebih baik kita tapis setiap orang yang datang ke depan, jangan separuh jalan kita telah buat kesilapan pilih orang yang tidak dapat diterima oleh masyarakat.

“Ini akan mendatangkan masalah kepada UMNO dan itulah kebimbangan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab sempena forum Dilema Melayu Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman di sini, malam tadi.

Forum anjuran Persatuan Belia Generasi Merdeka itu disertai lebih 250 hadirin termasuk sebilangan ketua-ketua bahagian dan wakil-wakil rakyat UMNO dari seluruh negara.

Pada masa sama, beberapa peserta forum turut mendesak Tengku Razaleigh menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO kerana menganggapnya individu paling layak untuk menentang Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.