Masanya sudah tiba untuk kerajaan menimbang pandangan BTN itu dengan serius kerana kita tidak boleh membiarkan dari semasa ke semasa semangat patriotisme dalam kalangan rakyat negara ini terhakis.

Senario politik selepas 2008 menyaksikan sudah ada keberanian luar biasa dalam kalangan kelompok tertentu mempertikaikan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan. Tidak cukup dengan itu, ada pula kelompok yang semakin lantang mahu menggugat hak keistimewaan orang Melayu dan menghina agama Islam.

Situasi itu sudah tentulah tidak akan berlaku jika semua pihak memahami erti patriotisme yang sebenar. Memahami patriotisme bukan sekadar mengetahui perasaan sayang kepada negara sahaja tetapi lebih penting daripada itu memastikan apa yang selama ini menjadi kekuatan negara khususnya dari segi perpaduan kaum tidak diusik biarpun seinci.

Menguruskan sebuah negara majmuk seperti Malaysia bukanlah mudah. Di dalam negara ini terdapat pelbagai kaum dan agama. Ia bagaikan menjaga sebiji telur di hujung tanduk - perlu benar-benar berhati bagi mengelak ia retak apatah berderai.

Begitulah juga perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Tidak boleh mana-mana ada kaum cuba menjadi `taiko’ dengan membuat tuntutan yang bermacam-macam tanpa mempedulikan perasaan orang Melayu dan bumiputera.

Melalui semangat patriotisme, rakyat Malaysia akan memahami batas-batas dalam memastikan negara terus aman dan damai. Apa yang sudah dikecapi bersama ketika kemerdekaan tidak harus diganggu gugat, apatah lagi mahu dicabut dengan sewenang-wenangnya.

Hormatilah Perlembagaan dan hargailah perpaduan yang telah wujud sekian lama. Kalaupun mahu mencari keuntungan politik janganlah dikorbankan segala-galanya. Tiada gunanya bersorak gembira dengan kuasa yang diraih sedangkan negara berada dalam keadaan kucar kacir. Adalah wajar kerajaan menimbang cadangan BTN itu. Wujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji usul tersebut bagi membolehkan satu tindakan susulan dilakukan.

Ini memandangkan kita tidak mahu ada kelompok yang bertindak sewenang-wenangnya kerana merasakan mereka sudah kuat sehingga ia akhirnya menyebabkan berlaku perbuatan yang akan mencetuskan perbalahan antara kaum di negara ini.

Dalam apa situasi sekalipun, sikap seumpama itu tidak boleh dibiarkan berlaku kerana kesudahannya boleh mengundang bencana kepada keutuhan Malaysia tercinta ini. Sebelum terlambat, jangan biarkan cadangan BTN sekadar satu cadangan kerana agensi itu pasti mengetahui kenapa akta tersebut perlu diwujudkan.

Justeru sebelum terlambat atau sebelum muncul kelompok-kelompok yang berkelakukan seperti `kaduk naik junjung’ maka bertindaklah segera kerana kita tidak mahu sesuatu yang tidak baik berlaku kepada negara ini akibat kegagalan rakyatnya memahami erti patriotisme.