Sambil mengulangi keyakinannya bahawa PRU-14 adalah medan terbaik untuk BN kembali berkuasa di Selangor, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejayaan itu boleh dicapai jika semua pihak bersatu, bekerja keras dan menolak politik ‘assabiyah’ serta ghanimah yang sempit.

“Kita telah pun ‘ditalak satu’ pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) dan 'ditalak dua' pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Kalau nak rujuk semula, elak talak tiga dengan memastikan kemenangan dan rampas semula negeri ini,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sabak Bernam di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar; timbalannya, Datuk Mad Nadzari Ahmad Dahlan; Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, selaku Timbalan Perdana Menteri, beliau meletakkan usa­ha merampas Selangor sebagai salah satu fokus utama dan ia dapat dilihat dengan negeri tersebut menjadi negeri terbanyak yang dirasmikan persidangan bahagian olehnya.

Menurutnya, kekalahan BN Se­langor dalam dua pilihan raya umum sebelum ini mungkin merupakan petunjuk kemurkaan Allah terhadap sikap segelintir pemimpin parti yang sombong dan gemar berebut jawatan sesama sendiri.

“Selepas menang pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11), kita terlalu selesa dan mendabik dada. Para pemimpin mula bere­but harta, masing-masing hendak cepat kaya dan rakyat te­ngok gelagat kita, sebab itu Allah tarik nikmat pemimpin Selangor hingga kita kalah dalam PRU-12 dan PRU-13.

“Saya harap perkara ini tidak berlaku lagilah. Kita harus berada di alam realiti, kita mesti dekati rakyat dan beri perkhidmatan terbaik keseluruhannya,” katanya.