Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Marsum Paing berkata, semua ahli BN kawasan itu perlu meletakkan agenda parti untuk merampas kembali Parlimen Sepang, dua kerusi DUN selain mempertahankan DUN Dengkil sebagai keutamaan sekali gus mengelak tragedi pada 2013 berulang.

Beliau berkata, apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dahulu perlu dijadikan sejarah silam dan iktibar kerana perkara itu menyebabkan BN Sepang hilang kerusi Parlimen kepada Pas selain gagal memenangi DUN Sungai Pelek dan DUN Tanjung Sepat.

“Mengikut apa yang dimaklumkan oleh Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar soal pemilihan calon di Sepang sudah selesai dan beliau juga meminta pemimpin setempat bekerja keras untuk merampas kembali Parlimen dan dua kawasan DUN selain mempertahankan DUN Dengkil.

“Kita akan pastikan hasrat dan agenda parti direalisasikan. Ahli BN di sepang juga telah sepakat dan sebulat suara untuk menerima siapa sahaja calon yang bakal diumumkan kelak untuk bertanding di kerusi Parlimen dan juga DUN,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Noh ketika merasmikan Balai Raya Taman Sri di Sungai Pelek semalam memaklumkan pemilihan calon membabitkan Parlimen Sepang dan tiga DUN di bawahnya sudah selesai dan mereka yang terpilih mempunyai kredebiliti serta boleh memberi kemenangan kepada BN. - UTUSAN ONLINE