Calon Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, sebaik-baiknya Asyraf Wajdi melantik kedua-dua pemimpin tersebut bagi mengisi apa jua jawatan di dalam pemuda supaya mereka dapat bekerjasama seterusnya membentuk satu pasukan yang kuat dalam usaha kembali membina parti.

“Saya lihat ketiga-tiga tokoh ini boleh membentuk satu gandingan yang hebat dan kalau dilihat daripada segi perbezaan undi, ia tidak lari jauh. Madsudnya, kesemua mereka mempunyai sokongan dalam kalangan perwakilan sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pemilihan jawatan Ketua Pemuda UMNO semalam menyaksikan Asyraf Wajdi,42, menang selepas memperoleh 65 undi, diikuti Khairul Azwan (62), Mohd. Shahar (51) dan Datuk Seri Jamal Yunos (2).

Sementara itu, Fathul Bari berkata, kemenangan Asyraf Wajdi menjadi sejarah baharu selain memecah tradisi kerana pemimpin yang bukan dari ‘kilang pemuda’ berjaya memenangi jawatan tertinggi sayap parti itu.

Katanya, kemenangan Asyraf Wajdi itu juga memberi harapan baharu ke arah usaha pemulihan dan penyucian parti.

“Saya harap beliau (Asyraf Wajdi) dapat melaksanakan tugas dengan baik dalam mendepani cabaran memulihkan kembali UMNO selain membawa demensi baharu di dalam parti selepas ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE