Soalan itu diajukan kepada penulis oleh salah seorang peniaga yang mencari rezeki dengan menjual makanan sepanjang Muktamar Tahunan Pas Ke-63 berlangsung di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut berhampiran Alor Setar, Kedah.

Sejujurnya, penulis tidak mempunyai jawapan yang pasti terhadap persoalan yang sedang bermain dalam benak sebahagian besar ahli akar umbi Pas.

Sudah tentu mereka tidak mahu pisang berbuah dua kali. Pengalaman pahit ketika ‘berpakat’ dengan DAP dan PKR dahulu mengajar Pas supaya lebih berhati-hati dalam memilih kawan.

Pas hilang kuasa di Perak pada 2009 gara-gara perbuatan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR dan seorang lagi dari DAP meninggalkan parti masing-masing dan bertindak sebagai ADUN Bebas.

Manakala di Selangor, Pas terpaksa beralah dengan memberi laluan kepada pemimpin PKR untuk mengisi jawatan Menteri Besar walaupun mereka memenangi lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU-13.

Tidak cukup dengan itu, pemimpin-pemimpin PKR ter­masuk Naib Presidennya, Rafizi Ramli tanpa segan silu menyerang pemimpin dan bekas pemimpin Pas dengan bermodalkan tuduhan-tuduhan tidak berasas.

Maka, timbul keresahan dalam kalangan akar umbi Pas berhubung kewajaran parti itu meneruskan tahaluf siyasi dengan PKR yang turut menganggotai Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Secara logiknya, memang tidak patut bagi sesiapa sahaja untuk terus bersahabat dengan ‘kawan’ yang suka melakukan pukul curi dari belakang.

Sememangnya kepemimpinan Pas berhak menentukan parti mana yang layak dijadikan sekutu namun adalah lebih afdal sekiranya mereka tidak memilih ‘kawan yang makan kawan’.