HAMZAH ZAINUDDIN

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sekiranya kerajaan tidak bertindak sekarang, berita palsu boleh menyebabkan kerajaan tumbang.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memberitahu, kerajaan perlu mewujudkan satu undang-undang bagi memastikan tidak ada masyarakat sewenang-wenangnya menyebar berita palsu tanpa rasa bersalah.

“Kalau anda mahu saya berdiri di sini lagi selepas PRU-14, pertahankan kerajaan sedia ada.

“Tapi kalau pilihan raya ini dirosakkan melalui fitnah, ini mungkin kali terakhir saya berhadapan dengan saudara-saudari semua,” katanya sewaktu berucap pada majlis Anu­gerah Perkhid­matan Cemerlang 2017 agensi-agensi Kementerian Perdaga­ngan Da­lam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Menara Berkembar Bank Rakyat di sini hari ini.

Kira-kira 65 penerima anugerah adalah dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) (36), Maktab Koperasi Malaysia (19) manakala empat lagi penerima adalah warga kerja Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Dalam pada itu, Hamzah turut berharap MyCC dapat diperbesarkan selaras dengan fungsinya yang semakin meningkat dan Jabatan Perkhidmatan Awam perlu mempertimbangkan cadangan tersebut.

“Satu daripada cara untuk memastikan tidak ada monopoli kartel, kita kena perbesarkan MyCC supaya mereka juga boleh turun buat siasatan. Sekarang, tidak cukup kakitangan dan terpaksa bergabung tenaga dengan warga KPDNKK yang lain,” ujarnya.