Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, Dr. Mahathir cuba ‘menokok tambah’ fitnah beliau terhadap Pas berhubung tragedi Memali de­ngan membabitkan mufti pula.

“Beliau cuba mem­perbodohkan mufti. Seperti mufti tiada ilmu dan keberanian sehingga kononnya tidak menangkis amanat Haji Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang).

“Beliau terlalu merendahkan keupayaan dan kedudukan para mufti,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Dr. Mahathir dalam ucapan dasar beliau pada Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semalam mencipta kontroversi apabila menyalahkan mufti dalam tragedi Memali.

Tragedi Memali di Baling pada 19 November 1985 memalitkan catatan hitam apabila 18 nyawa terkorban dan ketika itu banyak pihak menuding perkara itu ke atas bahunya namun Dr. Mahathir bertindak menyalahkan be­kas timbalannya, Tun Musa Hitam.

Mengulas lanjut, Nasrudin menempelak tuduhan jahat Dr. Mahathir kononnya di dalam amanat Abdul Hadi menyatakan seseorang itu kafir sekiranya tidak menyokong Pas.

“Mereka yang mengamati amanat itu secara teliti dan saksama, nescaya memahami bahawa amanat itu tidak sekali-kali mendakwa siapa yang tidak sokong Pas sebagai kafir.

“Fitnah ini telah saya dengar sejak tahun 80-an lagi. Filem hitam putih yang cuba ditayang semula oleh Dr. Mahathir di pawagam 3D,” jelas beliau.

Berikutan itu, Nasrudin meminta supaya Dr. Mahathir kembali ke pangkal jalan.