Datuk Bandar, Samiun Salleh menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana parti politik yang ingkar, dan sehingga kini lebih 1,000 bahan kempen yang digantung, direntang dan dipacakkan di kawasan berkenaan telah diturunkan.

Menurutnya, kawasan larangan termasuklah di sekitar jambatan, bulatan dan persimpangan lampu isyarat kerana boleh menjejaskan pandangan pengguna serta mengundang bahaya.

“Selain itu beberapa jalan utama seperti di Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Kuala Ibai dan laluan ke istana di samping premis-premis kerajaan dan perseorangan adalah tidak dibenarkan.

“Bagaimanapun, parti-parti politik boleh memasang bahan kempen mereka pada jalan-jalan yang dibenarkan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan agar tidak membahayakan kepada pengguna jalan raya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sehubungan itu juga, MBKT telah menghantar surat kepada semua parti politik supaya memohon permit bagi pemasangan bendera, kain rentang dan poster selaras dengan Undang-Undang Kecil Kerajaan Tempatan (Iklan Pilihan Raya) 1990.

“Kadar deposit RM50 bagi satu jalan yang dipohon akan dikembali selepas 14 hari dari tempoh pengundian. Keperluan permit itu bukan perkara baharu, malah telah dimulakan pada PRU-13.

“Kegagalan parti boleh mengakibatkan MBKT mengalih apa-apa bentuk, iklan pilihan raya atau papan tanda atau struktur dan lain-lain yang didirikan bagi maksud mempamer iklan pilihan raya,” ujarnya.

Beliau berkata, penguatkuasaan berhubungan pemasangan bahan kempen itu sepatutnya bermula pada hari penamaan calon dan berakhir pada hari pengundian namun ekoran ‘mood’ pilihan raya, MBKT memberi kelonggaran. - UTUSAN ONLINE