Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kriteria pemilihan calon yang disenangi dan menjadi kesukaan rakyat merupakan antara perkara yang menjadi keutamaan beliau dan presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, UMNO dan BN ber­depan dengan pelbagai cabaran sepanjang masa, justeru setiap calon yang dipilih perlu memiliki ciri-ciri pemimpin yang disukai dan menjadi cita rasa rakyat.

“Pemilihan calon (BN) untuk PRU-14 sudah bermula. Tidak perlulah kita melobi menggunakan pelbagai agensi kerana saya dan Presiden tidak mahu mengambil risiko memilih calon yang bukan kehendak rakyat.

“Maaflah, BN tidak boleh mengetepikan calon yang menjadi cita rasa rakyat dan pe­mimpin yang akan dipilih sebagai calon kelak mesti menjadi pilihan mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tangga Batu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, malam tadi.

Yang turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron me­rangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu; Timbalan Ketua UMNO bahagian, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu serta Setiausaha UMNO bahagian, Datuk Shamsudin Mehat.

Sementara itu berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Melaka di Banda Hilir hari ini, beliau berkata, pengundi Cina di negara ini perlu berhenti daripada terus menjadi mangsa penipuan DAP yang menjanjikan ‘bulan dan bintang’ pada PRU sebelum ini, namun tidak pernah berjaya menunaikannya.

Jelasnya, ramai pengundi Cina terpedaya dengan slogan ‘Ini Kalilah’ yang dilaungkan pembangkang pada PRU ke-12 dan 13 sebelum ini, namun agenda itu dilihat gagal serta langsung tidak membantu me­ngubah nasib mereka.

Menurutnya, DAP jelas gagal menunaikan apa yang dijanjikan mereka terutamanya kepada rakyat di Pulau Pinang, malah pucuk kepemimpinan parti itu juga tidak pernah bertukar sejak sekian lama.

“UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah berada dalam persada politik tanah air selama 70 tahun dengan pemimpin bersilih ganti, namun itu tidak berlaku dalam DAP di mana yang bertukar ha­nyalah jawatan.

“Oleh itu, ‘Ini Kalilah’ kita hancurkan mereka (DAP) pada PRU-14 akan datang. Zaman DAP akan merudum, empayar DAP akan pecah dan dinasti Lim (Lim Kit Siang) akan runtuh," katanya.

“Saya seru orang Cina, cukup-cukuplah ditipu oleh DAP dan tiba masanya pada PRU-14 ini untuk patah balik kepada BN,” katanya.