Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, situasi tersebut merupakan perkara yang dibimbangi ketika ini.

“Saya paling khuatir, dalam satu pertandingan, pada mula­nya semangat kita berkobar-kobar. Pada fasa-fasa akhir ini kita perlu berjaga-jaga, kita mungkin akan lemah dan lesu.

“Sebab itu saya perlu turun seperti di Pekan ini untuk bertemu jentera Wanita bagi membangkitkan semangat mereka, tambahan pula Pekan merupakan kawasan pemimpin nombor satu negara,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pekan di Bangunan UMNO Pekan di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pene­rangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari; Ketua Wanita UMNO Bahagian Pekan, Datuk Zalmah Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Seri Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali.

Shahrizat berkata, cabaran dan dugaan adalah perkara biasa yang akan dihadapi oleh setiap pemimpin politik.

Katanya, ini kerana bukan sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan dengan perkara itu malah beliau juga menghadapinya.

“Orang yang tidak melakukan perkara yang difitnah terhadapnya, dia ada kekuatan luar biasa menghadapinya, tetapi kalau sebaliknya, individu berkenaan tidak akan dapat menahan pukulan badai yang dihadapinya.

“Saya tengok Datuk Seri Najib, saya kata sebenarnya Allah SWT menguji mereka yang mampu untuk memikulnya dan kalau kita ada ibadah dan berdoa kepada Allah, percayalah satu hari nanti, dugaan dan cabaran itu akan terlerai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau me­minta Wanita UMNO menggunakan pendekatan berbeza setiap kali mendekati rakyat yang mempunyai latar belakang berlainan.

Menurutnya, adalah penting untuk Wanita UMNO mengenali pe­ngundi seterusnya mendekati mereka terutama menjelang PRU-14.

“Saya menekankan kepada Wanita UMNO supaya menggunakan pendekatan berbeza setiap kali mendekati pengundi. Jika bertemu dengan penjawat awam, kita perlu ada cara berdepan dengan mereka, begitu juga kalau berjumpa dengan Orang Asli,” katanya.