Beliau berkata, pelantikan Hishammuddin sebagai Menteri Dengan Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu telah mendapat persetujuan Timbalannya dan membuat perbincangan terlebih dahulu sejak berbulan-bulan lamanya.

Atas sebab itu, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, perlunya ada pe­ngukuhan sebuah barisan kepemimpinan yang padu sama ada di peringkat nasional mahupun parti serta bersikap saling percaya antara satu sama lain.

“Kalau nak berperang, jeneral utama kita mestilah dalam satu barisan saf yang kukuh dan padu serta saling percaya antara satu sama lain. Jangan laga-lagakan Hisham dan Zahid.

“Bila saya umum Menteri Dengan Tugas-Tugas Khas, saya sudah bincang dengan Zahid berbulan-bulan dan Zahid sendiri yang mencadangkan nama Hisham dilantik, sebab itu boleh duduk sebelah, tidak ada masalah,” katanya ketika berucap dalam pelancaran JR Plus di sini hari ini.

Hishammuddin dilantik sebagai Menteri Dengan Tugas-Tugas Khas di JPM berkuat kuasa kelmarin sebagaimana diumumkan Perdana Menteri.

Pelantikan tersebut akan membolehkan Hishammuddin menjalankan tugas selain daripada tanggungjawab beliau sebagai Menteri Pertahanan.

Dalam pada itu, Najib berkata, seluruh kepemimpinan dan sayap UMNO tidak harus lupa dengan konsensus BN apabila turut mengajak bersama dalam penganjuran program parti atas semangat BN.

“Kerjasama cukup baik, semangat baik dan luar biasa, dan menghargai satu sama lain. Semangat ini lain macam, dulu kita buat program asing-asing tetapi sekarang lebih banyak program atas semangat BN,” katanya.