Dr. Bazrul Bahaman
Dr. Bazrul Bahaman

Namun usaha itu tidak mungkin dapat menghakis imej negatif DAP, terutamanya dalam isu bahasa Melayu yang sejak dahulu gagal dijuarai parti tersebut.

Mana mungkin rakyat melupakan tindakan penyandang kerusi Parlimen Seputeh dari DAP, Teresa Kok yang mempertikaikan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda di sekitar Kuala Lumpur suatu masa dahulu.

Malah, video tentang ketidakfasihan ahli Parlimen DAP ketika berhujah di Parlimen juga masih dikongsikan di media sosial sehingga kini.

Mengulas perkara tersebut, pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Bazrul Bahaman berpendapat, dasar DAP yang tidak mesra Perlembagaan Persekutuan menyebabkan rakyat sukar mempercayai parti itu untuk mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di negara ini.

“Imej DAP itu sendiri negatif dalam soal memartabatkan bahasa Melayu ini. Tiada tokoh dalam parti tersebut dilihat mampu memperjuangkan perkara ini.

“Ditambah pula dengan agenda Malaysian Malaysia yang mereka bawa kerana agenda ini memperjuangkan kesamarataan dalam semua perkara, termasuklah bahasa.

“Maknanya, jika agenda ini terlaksana, bahasa Melayu akan dihapuskan keistimewaannya dan diletakkan setaraf dengan bahasa lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Mengulas lanjut, Bazrul juga menekankan kepentingan untuk mempertahankan kedudukan bahasa Melayu kerana menurut beliau, bahasa ini berfungsi sebagai identiti negara dan bahasa penyatuan pelbagai kaum dalam negara ini.

“Sejak dari zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi bahasa Melayu sudah berfungsi sebagai bahasa penyatuan pelbagai bangsa ketika itu.

“Penjajah bersilih ganti, namun kedudukan bahasa Melayu masih terjaga sehingga kini. Pastilah kita tidak mahu ia terkorban disebabkan pertukaran kuasa politik pula,” katanya. - UTUSAN ONLINE