Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, semua ahli UMNO perlu menerima tindakan itu sebagai sebahagian daripada proses undang-undang yang dijalankan di negara ini.

“Ramai menerima berita tanpa mengetahui kedudukan sebenar. Isu sebenar adalah proses penyiasatan akaun 1MDB yang sedang disiasat dan beberapa Ketua UMNO Bahagian sudah pun dipanggil memberikan keterangan.

“Bagi saya mudah, dalam isu 1MDB kita inginkan kebenaran mutlak jadi kalau ada proses me­langgar undang-undang, SPRM berhak mengambil tindakan. Kita juga tertanya-tanya tentang perkara sebenar yang berlaku kerana ada yang mendakwa ia adalah sumbangan pihak tertentu dan sebagainya,” jelasnya.

Annuar yang juga calon Timbalan Presiden UMNO berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh, di sini hari ini.

Mengulas mengenai saranan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki supaya diwujudkan sebuah tabung khas bagi melancarkan pergerakan parti, Annuar menjelaskan itu merupakan satu cadangan.

Jelasnya, perkara itu juga boleh dibawa ke peringkat Ahli Majlis Tertinggi parti nanti.

“Sekarang ini, macam-macam spekulasi timbul berkaitan isu 1MDB, itu (beku akaun) satu per­kara biasa.

“Biarkan pihak berkuasa (SPRM) menjalankan penyiasatan dan dalam undang-undang kita dibolehkan menggunakan (bagi proses melantik) panel peguam untuk melihat dalam aspek pe­­-
r­undangan. SPRM tidak akan buat aniaya (UMNO), kenyataan juga sudah dikeluarkan,” ujarnya.