Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, keputusan meletakkan aset keselamatan secara berkala di Beting Patinggi Ali, Sarawak seolah-olah menunjukkan kerajaan tidak mengutamakan keselamatan rakyat.

“Kalau nak kurangkan kos negara maka hadir secara berkala, jadi esok-esok kalau negara lain datang tuntut negara kita, kita nak kurangkan kos lagi?

“Tidak ada kos dalam hal-hal berkaitan menjaga keselamatan negara,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam jawapan bertulis yang diedarkan di bangunan Parlimen hari ini, kerajaan menyatakan, pasukan keselamatan seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan ditempatkan secara berkala di Beting Patinggi Ali.

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau menambah, tindakan kerajaan PH itu mendedahkan negara dengan pelbagai ancaman dan risiko yang boleh menjejaskan keselamatan rakyat.

“Selain rundingan diplomatik, sepatutnya aset-aset negara perlu diletakkan 24 jam sehari di kawasan tersebut kerana ia terletak 83 kilometer daripada 200 batu nautika perairan negara,” katanya. - UTUSAN ONLINE