Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, perkara itu bukan sahaja diharapkan oleh Pas, malah seluruh rakyat memandangkan mereka mahu melihat PH menjadi kerajaan yang lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN).

"Walaupun Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah jadi Perdana Menteri, kita harap beliau meninggalkan cerita lama dan buka lembaran baru sebagai Perdana Menteri baharu.

"Berkaitan dendam itu bermacam-macam kerana ia terlalu luas. Kita tidak mahu kerajaan baharu ini menjadi sebuah kerajaan yang membalas dendam," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis mengangkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kelantan di Istana Kota Lama, di sini hari ini.

Mohd. Amar mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Besar bersama sembilan Exco di hadapan Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra. - UTUSAN ONLINE