Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ini kerana selepas empat bulan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara, mereka perlu 'merawat' pelbagai penyakit yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Sehubungan itu, ujar beliau, rakyat perlu berkorban dan sedar kemampuan kewangan kerajaan yang terhad ketika ini menerusi pembentangan Belanjawan 2019 oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dijangka 2 November depan.

"Beban hutang tinggi sehingga kerajaan tidak ada ruang untuk beri hadiah wang kepada rakyat.

"Kita harap rakyat berkorban seperti mana yang diperlukan,  malah Menteri juga dipotong gaji pada bulan pertama dilantik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penerangan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) di sini hari ini.

Dr. Mahathir hari ini menjelaskan Bajet 2019 yang akan dibentangkan beliau nanti sebagai bajet berhemah dan memerlukan pengorbanan seperti dilakukan beberapa negara yang berdepan krisis kewangan termasuk Greece.

Sementara itu, Guan Eng memberitahu, penjualan rokok di kedai makan dan minuman bawah nilai RM500, 000 dikecualikan SST.

Katanya, harga rokok ketika ini masih sama namun cukai perlu dibayar dan kelonggaran tambahan yang diberikan itu hanya membabitkan makanan dan minuman sahaja. - UTUSAN ONLINE