Bagi mereka, tindakan itu adalah perlu kerana semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dituduh mempunyai simpanan akaun bank sebanyak RM230 juta oleh Dr. Mahathir dua dekad lalu secara terbuka menyatakan kesediaannya untuk disiasat dan oleh itu, pendirian sama harus diambil oleh Pengerusi Parti Pribumi Malaysia (PPBM) tersebut.

Di PADANG RENGAS, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, adalah tidak adil jika hanya Timbalan Perdana Menteri sahaja yang disiasat berhubung tuduhan memiliki wang seba­nyak RM230 juta yang dilemparkan oleh Dr. Mahathir.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas yakin Ahmad Zahid menyatakan kesediaannya untuk disiasat atas prinsip ‘berani kerana benar’.

“Kalau Ahmad Zahid berani untuk nyatakan beliau rela disiasat, saya rasa tidak adil kalau beliau sahaja yang disiasat, orang yang membuat tuduhan pun patut disiasat sebab anak­nya kaya.

“Kita pun hendak tahu anak beliau tiba-tiba jadi kaya macam mana?” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas hari ini.

Mohamed Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata, Dr. Mahathir juga perlu sedia untuk melakukan sumpah laknat seperti mana kesediaan yang dinyatakan oleh Ahmad Zahid berhubung tuduhan konspirasi untuk menjatuhkan Najib.

“Jangan hanya satu pihak, jika satu pihak sahaja lakukan sumpah laknat, senanglah. Dua-dua kena buat,” katanya.

Di JASIN, Ahli Majlis Ter­tinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pengerusi Pakatan Harapan diketuai DAP itu bersama keluarganya tidak mempunyai imuniti terhadap tindakan undang-undang negara.

“Sesiapa sahaja di dalam negara ini tidak mempunyai imuniti dan kebal daripada tindakan undang-undang, maka kenapa minta Timbalan Perdana Menteri sahaja untuk disiasat?.

“Saya setuju dengan beliau (Ahmad Zahid), jika beliau akan disiasat kerana isu pemilikan wang seperti yang didakwa Dr. Mahathir, maka Dr. Mahathir dan anak-anaknya perlu disiasat sama supaya semua orang diadili secara sama rata,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Alor Gajah 2017 di Dewan Hang Kasturi, Selandar di sini.

Di BUKIT MERTAJAM, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, rakyat kini menilai sama ada Dr. Mahathir bersedia mengambil pendirian yang sama seperti Ahmad Zahid.

“Dr. Mahathir perlu bersikap adil, biar SPRM siasat dengan menyeluruh isu kekayaan luar biasa beliau dan anak-anaknya,” katanya ketika berucap meras­mikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Permatang Pauh di Institut Perguruan Tuan­ku Bainun di sini.

Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling menyifatkan Dr. Mahathir kini semakin terdesak dengan melemparkan pelbagai fitnah dan serangan terhadap UMNO.

“Serangan beliau semakin hebat selepas anaknya, Datuk Seri Mukhriz tewas ketika bertan­ding jawatan Naib Presiden UMNO pada 2013.

“Pelbagai tuduhan dilemparkan, sedangkan selama ini orang UMNO telah memberi peluang dan laluan mudah kepada Mukhriz untuk memimpin UMNO di Kedah,” katanya.