Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, menjadi kelaziman pada setiap musim mengundi ada pihak yang menggunakan ayat suci al-Quran dan hadis untuk meneguhkan pandangan serta ceramah masing-masing.

Menurutnya, ahli politik tidak boleh menyamakan populariti lagu ‘Dendang Perantau’ untuk dikumandangkan pada saat menjelangnya hari raya setiap tahun dengan ayat al-Quran dan hadis setiap kali menjelang pilihan raya.

"Biarlah PRU kali ini berjalan lancar tanpa ada yang mengaitkan dengan firman Allah termasuk mempersoalkan aspek keimanan dan pegangan terhadap agama. Jangan lagi menjaja isi kandungan al-Quran tanpa mengkaji maksud yang tersirat.

"PRU hanyalah untuk memilih pemimpin. Memilih wakil rakyat. Perkara yang berbeza hanyalah aliran dan ideologi politik namun persaudaraan sesama Islam tetap kukuh dengan satu kepercayaan yang merujuk kepada al-Quran dan hadis," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan wang ihsan di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pasir Puteh, dekat sini, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, pendekatan kempen perlu ditadbir secara sederhana dengan mengambil kira tertib dan adab berbicara sebagaimana yang digarapkan oleh Islam.- UTUSAN ONLINE