Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, konsep tersebut boleh menghakis kepentingan orang Melayu dan bumiputera sekali gus menggugat kestabilan politik negara.

Menurutnya, kumpulan pemimpin Melayu tersebut perlu sedar, kesamarataan hak yang diperjuangkan mereka tidak jauh berbeza dengan dasar Malaysia-Malaysian yang dibawa DAP.

“Bila disebut dasar kesamarataan, bermakna tiada lagi keistimewaan kaum bumiputera seperti yang terkandung dalam Perlembagaan. Sedangkan perkara itu terkandung dalam perjanjian kontrak sosial sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program turun padang Perkasa dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir, di sini hari ini.

Ibrahim dalam pada itu memberitahu, konsep kesamarataan hak tidak sesuai dilaksanakan di negara ini kerana keadaan ekonomi bumiputera masih jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain. - UTUSAN ONLINE