Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, malah Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) beranggapan usaha Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memperkenalkan strategi politik matang itu seolah-olah Pas akan masuk UMNO.

Beliau menjelaskan, sebagai bukti tidak menyertai UMNO, Pas akan meletakkan calonnya di kesemua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu untuk berdepan calon UMNO pa­da Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Jangan ganggu strategi kami. Apabila Presi­den Pas perkenalkan politik matang sejahtera, mereka (Pakatan Harapan) kata kita nak masuk UMNO. Sedangkan pada PRU-14 nanti, Pas akan lawan UMNO di lapan Parlimen dan di 32 DUN (di Terengganu).

“Jadi, macam mana mereka (Pakatan Harapan) boleh kata kita kerjasama dengan UMNO? Kena faham betul-betul apa politik matang sejahtera. Ada benda baik kita terima dan yang tak baik kita lawan,” kata beliau.

Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang menyatakan perkara itu ketika merasmikan program Himpunan Anak Muda Marang (Hikam 2.0) yang berlangsung selama tiga hari berakhir esok di Kampung Padang Mengkuang dekat sini malam tadi.

Idris seterusnya menempelak Pakatan Harapan yang sebelum ini pernah berseteru dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad tetapi kini menjulang Pengerusi PPBM itu untuk dijadikan Perdana Menteri.

sekiranya memenangi PRU-14.

“Sekarang kamu (Pakatan Harapan) boleh angkat Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dan itu cara kamu kalau rasa nak menang. Siapa sangka dulu kita tengok mereka gerakkan reformasi dan mahu Mahathir berundur tapi dia tak undur juga. Lama dia (Mahathir) berehat namun sekarang angkat balik Mahathir," ujarnya.