Abdul Rahman

Wakil UMNO Negeri Sembilan, Abdul Rah­man Mohd. Redza ber­kata, martabat bahasa Melayu terjamin dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan perjuangan memperkasakannya juga terkan­dung dalam Fasal 3.5 Perlembagaan UMNO.

Jelas beliau, sebarang usaha untuk meningkatkan penguasa­an pelajar terhadap bahasa lain sebaik-baiknya dilakukan dalam kelas bahasa berkenaan dengan menambah baik kemahiran guru, teknik pengajaran dan peralatan bantuan.

“Jangan digadaikan bahasa kebangsaan kita, ja­ngan dirosakkan keputusan Sains dan Matematik khususnya pelajar-pelajar luar bandar. Daripada boleh mendapat keputusan 4A 1B, akhirnya mendapat 2A 3C.

“Kalau penguasaan bahasa Inggeris kurang memuaskan, sudah tentu puncanya dalam kelas Bahasa Inggeris, kenapa hendak pindahkan masalah ke kelas Sains dan Matematik,” katanya ketika membahaskan usul agama dan pendidikan dalam Perhimpunan Agung UMNO hari ini.

Menurut Abdul Rahman yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, beliau berpendapat gesaan-gesaan yang menjejaskan kedudukan bahasa Me­layu kebanyakannya datang daripada golongan ibu bapa di bandar-bandar yang tidak fasih berbahasa Melayu.

“Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pun ada wakil rakyat tidak fasih bercakap berbahasa Melayu sehingga kita pun tidak faham, mereka ini yang kita perlu ‘sekolahkan’ selain golongan ibu bapa ber­kenaan,” katanya.