Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, bagi mengelakkan agama Islam terus dipermainkan individu tidak bertanggungjawab, pihaknya mengisytiharkan Perkasa sebagai organisasi yang akan terus menjadi benteng mempertahankan Islam dan hak pribumi di negara ini.

“Apabila menyentuh tentang benteng, apa sahaja yang berlaku melibatkan Islam kita akan sedia berkorban mempertahankannya. Ini kerana kita melihat kewujudan segelintir orang Melayu walaupun beragama Islam, tanpa disedari ada beberapa perbuatan yang dilakukan mereka itu menggugat akidah.

“Oleh itu, Perkasa mahu semua umat Islam terutama di Selangor memelihara Islam walau dalam apa jua keadaan sekali gus tidak membiarkan Melayu dan agama Persekutuan ini diperalatkan mana-mana pihak,” katanya kepada Mingguan Malaysia selepas merasmikan Persidangan Khas Tahunan Pribumi Perkasa Parlimen Kelana Jaya Ke-7 dekat sini, semalam.

Yang turut hadir Yang Dipertua Perkasa Selangor, Borhan Ahmad Zakaria serta ahli jawankuasanya.

Mengulas mengenai Persidangan Agung Tahunan Perkasa yang akan berlangsung pada 18 dan 19 November ini, Ibrahim berkata, antara yang diberi fokus adalah berhubung lonjakan ekonomi Melayu pada masa akan datang.

Jelasnya, melalui forum dalam persidangan itu, pihaknya akan membincangkan ekonomi Me­layu dan aspek-aspek yang mampu menjadi tunggak kepada pencapaian bumiputera.

“Kita mahu membincangkan tahap ekonomi Melayu bukan untuk 30 tahun akan datang, tetapi untuk jangka masa lama selain aspek pendidikan yang diterima Melayu bagi menjamin masa depan mereka nanti.

“Kita akan membincangkan bagaimana hendak melonjakkan penguasaan ekonomi yang kini dilihat hanya sekadar dasar sampingan sedangkan agenda ekonomi mesti dipayungi dasar bumiputera,” ujarnya.