Abdul Aziz Abdul Rahman

Mempunyai pengalaman luas dalam bidang undang-undang dan dikenali sebagai pakar perlembagaan, TAN SRI ABDUL AZIZ ABDUL RAHMAN yang juga Pengerusi Biro Perlembagaan Majlis Perundingan Melayu (MPM), mengulas mengenai isu tersebut dari sudut pandangan beliau sebagai pengamal undang-undang kepada wartawan Utusan Malaysia, SAFINA RAMLI.
 

UTUSAN: Apa sebenarnya yang dimaksudkan de;ngan ketuanan Melayu?

ABDUL AZIZ: Bagi saya sebagai seorang peguam, ia tak ada makna apa, bukan undang-undang, ia sebagai memperkasakan orang Melayu jadi disebut ketuanan Melayu. Tidak ada makna apa pun, macam kamu menyanyi sahaja. Tetapi ada orang takut sangat dengan ketuanan Melayu ini sebab mereka tak faham atau buat takut-takut supaya mereka boleh bantah. Ada orang bukan Melayu suka orang Melayu kata begitu, sebab mereka boleh bantah isu ini.

Pada pandangan Tan Sri, apa yang menyebabkan isu ini berulang kali menjadi panas dan menimbulkan perdebatan umum?

Orang Melayu kita sendiri kurang faham hal ini (ketuanan Melayu). Mereka bangkitkan isu, tapi tidak tahu bangkit apa benda pun. Kalau kita nak bangkitkan isu, bangkitkan apa yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan, umpamanya Perkara 153, kita bangkit yang itu supaya kerajaan mempraktikkannya. Isu ini terjadi sebab kita buat-buat tak faham, sambil lewa.

Pesanan Tan Sri kepada pe­mimpin atau orang Melayu yang sengaja mencetuskan salah faham dalam isu ketua­nan Me­layu?

Pesanan saya, tidak usah cakap besar, kita ambil berat berkenaan dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 153, Perkara 89, soal memartabatkan bahasa Melayu dan sebagai­nya, ambil berat yang itu. Kalau kerajaan tidak buat dasar me­ngenainya, kita gunakan kuasa kita sebagai pemimpin untuk mendesak mereka. Itu yang lebih penting, soal bunga-bunga seperti ketuanan Melayu itu tiada manfaatnya, dia pun tak tahu apa maknanya ketuanan Mela­yu itu kemudian orang ramai gunakan perkara itu jadi satu penyakit, jangan cari penyakit.

Pada pandangan Tan Sri, selain isu ketuanan Melayu apa yang patut diberikan fokus pe­mimpin Melayu pada masa ini?

Perkara yang patut diberikan fokus ialah Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri-negeri tentang hak dan keistimewaan orang Melayu. Hak istimewa orang Melayu ada dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, berkenaan dengan tanah rizab Melayu pula ada terkandung dalam Artikel 89 dan Perlembagaan negeri-negeri, selain itu soal bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipatuhi kerajaan yang berkuasa dan rakyat. Selain itu, kedaulatan Raja-Raja Melayu perlu dipertahankan. Yang isu lain hanya bunga-bunga biasa, tidak patut jadi isu nasional.

Sekarang ini banyak kekeliruan timbul mengenai hak istimewa orang Melayu serta perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan dan pada pandangan Tan Sri mengapa perkara ini berlaku?

Mereka keliru atau sebenar­nya saja buat-buat keliru, boleh jadi setengahnya tidak faham, boleh jadi buat-buat tak faham pun ada juga. Ada faham tetapi kerajaan sendiri tidak dapat berbuat apa-apa. Contoh me­ngenai Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, tiada dasar kerajaan mengenai perkara tersebut.