Ketua Pergerakan Puteri UM­NO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Islam tidak hanya merupakan paksi perjuangan UMNO malah adalah teras utama kepada orang Melayu.

Ujarnya, tindakan Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) membangkitkan isu larangan pemakai­an tudung kepada pekerja-pekerja hotel wanita beragama Islam baru-baru ini adalah keterlaluan.

“Tindakan ini perlu kita kecam kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

“Tindakan-tindakan Islamophobia seperti ini patut dikekang sejak awal sebelum baranya mencetuskan api permusuhan dan perkauman yang besar,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO 2017 di sini hari ini.

Ucapan dasar Mas Ermieyati dalam perhimpunan kali ini me­rupakan ucapan dasar terakhirnya di pentas berkenaan kerana akan melepasi had usia 40 tahun kelayakan sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO pada tahun depan.

Menurut beliau, perjuangan memartabatkan agama Islam perlu mendapat tempatnya dalam merealisasikan gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Kita harus menekankan kembali fungsi dan peranan Ahli Sunnah Wal Jamaah agar persatuan di atas konsep Melayu Islam ini kembali kukuh,” katanya.

Dalam pada itu, jelas Mas Ermieyati, Pergerakan Puteri UMNO telah mengaktifkan Unit Khas Pilihan Raya serta Kumpulan Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) bagi mendekati pengundi muda untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kata beliau, dengan berbekalkan keahlian seramai 380,843 orang, Pergerakan Puteri UMNO perlu terus mara ke hadapan lagi untuk memastikan kejayaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

“Saya menyeru kepada Puteri, luaskan kuasamu! Temui pengundi-pengundi, tidak kiralah yang terselit di tengah-tengah kesibukan kota, atau terlontar di suatu sudut nun terceruk di desa-desa,” katanya.

Kata beliau lagi, pergerakannya cukup yakin dengan kebijaksanaan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memilih calon-calon untuk PRU-14 yang boleh menang, disukai pe­ngundi, mampu bekerja dan berkebolehan.