Keupayaan mana-mana calon untuk menambat kepercayaan golongan tersebut adalah penting dalam menentukan keputusan memihak kepada siapa.
Pengerusi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Port Dickson, MEJAR (B) MASRI DAUD berkongsi pandangan dengan wartawan Utusan Malaysia, AIDA FAIZLEN IBRAHIM di Port Dickson, baru-baru ini.

 

UTUSAN: Bagaimana reaksi veteran tentera di Port Dickson (PD) apabila kerusi Parlimen PD dikosongkan oleh Datuk Danyal Balagopal Abdullah?

MASRI: Bagi kami, Datuk Daniyal Balagopal meninggalkan kerusinya dengan alasan yang kuat. Saya dengar beliau juga tidak sihat. Lagipun tiada apa-apa yang menghalang seorang Senator atau Ahli Parlimen meletak jawatan. Kami langsung tidak percaya dakwaan dan fitnah bahawa beliau menerima habuan atas peletakan jawatannya itu oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Ini semua permainan politik.

Jangkaan tuan, siapakah yang akan mereka sokong?

Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Dalam sistem ini pilihan raya merupakan aspek pen­ting dalam menentukan tahap demokrasi sesebuah negara. Adalah menjadi hak masing-masing untuk memilih siapa yang mereka inginkan. Kita tidak fanatik menyokong mana-mana calon. Asalkan ia mendatangkan kebaikan kepada rak­yat, sudah tentu pengundi akan memilihnya.

Bagaimana dengan kebaji­kan anggota tentera dan ve­teran selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara?

Segala bantuan selayaknya diperolehi oleh semua bekas anggota tentera dalam ATM, tidak kira berpencen atau tidak, masih diteruskan seperti biasa mengikut garis panduan dan peraturan yang ditetapkan. Cuma kita harapkan bantuan-bantuan yang kita terima sejak 20 tahun lalu antaranya bantuan sara hidup, bantuan persekolahan dan bantuan perubatan tidak dihentikan berikutan dasar kerajaan baharu ingin mengurangkan perbelanjaan negara.

Apa yang veteran tentera harapkan daripada kerajaan?

Sebelum ini kami mendapat pelbagai bentuk bantuan kebajikan termasuk perubatan, sara hidup untuk balu dan kuota haji. Tetapi status bantuan-bantuan ini tergantung. Tidak salah kerajaan meneruskan bantuan ini supaya pengorbanan mereka dihargai dengan sewajarnya. Kami harap ia dikekalkan berikutan bilangan veteran dan balu mereka kian bertambah di seluruh Malaysia. Selain itu, kita juga mengharapkan agar kerajaan baharu ini membuat penambahbaikan kepada bantuan sedia ada termasuk mengambil kira kemampuan kewangan ahli. Kami juga meminta kerajaan membina sebuah pejabat veteran di Port Dickson bagi memudahkan kami menjalankan aktiviti yang sebelum ini kami hanya menumpang di balai-balai raya dan hanya berbincang masalah ahli di warung.

Pesanan tuan kepada calon yang menang nanti?

Lihatlah kami sebagai individu yang telah banyak berjasa kepada negara. Sebelum ini dua penggal kami tidak nampak pemimpin terbabit turun padang dan mendekati kami, jauh sekali mendengar masalah kami. Jadi kami harapkan pemimpin selepas ini melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat sebaiknya dan bukan hanya berjuang untuk mendapatkan undi semata-mata kerana perjuangan selepas itu adalah lebih penting.