Amaran itu diberikan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berikutan tindakan Chong Sin yang menyamakan serangan di Christchurch, New Zealand dengan permuafakatan UMNO dan Pas sebelum menarik balik kenyataan itu, semalam.

Menurut Reezal Merican, pimpinan tertinggi DAP sepatutnya mengadakan sidang akhbar dan membuat permohonan maaf dan bukannya sekadar menarik kenyataan.

“Adun Mengkibol perlu bertanggungjawab. Tarik balik atau tidak bukan isunya. Kebebalan dan kebiadaban itu sudah pun berlaku.

“Jangan berani bermain dengan api! jangan!. Permainan perkataan pemimpin DAP sudah semakin mendatangkan luka di hati orang Melayu dan umat Islam. Jangan diperhangat lagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Reezal Merican menambah, jika benar UMNO dan Pas mengambil jalan ekstrim pastinya telah berlaku sejak lama dahulu.

“Kami sederhana dan cukup menghargai keharmonian di Malaysia dan jalan itu bukan pilihan.

“Chong Sin perlu ingat jika benar UMNO itu ekstrim, serakah politik DAP ini sudah lama menyembah bumi.

“Aliran pemikiran seperti parti saudara pada hakikatnya merosakkan keharmonian dan mengganggu gugat ketenangan warga majoriti,” katanya lagi.

Tambahnya, tindakan mengaitkan serangan tersebut dengan perkembangan politik tanah air termasuk kerjasama UMNO dan Pas adalah keceluparan yang penuh kebebalan.

“Inilah taraf Adun DAP. Jangan terperanjat, inilah DNA sebenar DAP!,” katanya lagi.

Sebuah portal semalam melaporkan Chong Sin mendakwa insiden tembakan di Christchurch menjadi pengajaran kepada Malaysia perlunya mengekang gejala ekstremisme.

Chong Sin turut bimbang kerjasama UMNO dan Pas mampu menimbulkan naratif berkisar mengenai isu kaum dan agama namun bagaimanapun kenyataan itu ditarik balik selepas mendapat kecaman pelbagai pihak. - UTUSAN ONLINE