Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, ini kerana kerajaan yang berusia sembilan bulan ini masih baharu, masih banyak perlu belajar dan di peringkat 'bayi' .

Sehubungan itu, katanya, rakyat perlu menilai kedua-dua zaman pemerintahan itu dengan adil dan betul.

“Kalau kita nak nilai kerajaan, janganlah banding kerajaan yang 61 tahun dengan kerajaan yang berumur sembilan bulan.

“Mana boleh kita banding bayi dengan seorang warga emas. Pengalaman berbeza. Bercakap pun tak boleh nak banding. Nak banding biar banding dengan adil dan betul,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada ceramah kempen Pakatan Harapan (PH) di pekarangan Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi Kuala Pajam, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) , Datuk Salahuddin Ayub.

Tambah Amirudin, rakyat perlu melihat bagaimana kerajaan mentadbir di dua negeri iaitu Selangor dan Pulau Pinang di bawah PH.

Katanya, daripada dua negeri itu, rakyat dapat melihat contoh bagaimana PH berdiri.

“Di situlah (Selangor dan Pulau Pinang) kita dapat lihat rupa bentuk dan gaya pentadbiran PH,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE