Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar sebaliknya mengingatkan mereka supaya tidak leka dan jangan mengambil mudah sokongan orang Melayu terhadap UMNO.

Jelas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu, me­reka harus mengambil pengajaran dengan kejatuhan kerajaan BN di Selangor kerana situasi yang berlaku ketika ini hampir sama.

“Pada 2004 menerusi PRU-11, kita menang semua 22 kerusi Parlimen dan 54 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, tetapi pada 2008 menerusi PRU-12, habis terbalik.

“Kita hanya menang lima kerusi Parlimen dan 20 kerusi DUN dalam PRU-12. Jadi, jangan ambil mudah perkara ini. Teruskan gerak kerja yang berbeza kerana zaman sudah berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tebrau di Ulu Tiram di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram.

Noh berkata, UMNO Selangor sebelum ini amat yakin untuk menjadikan negeri itu sifar pembangkang dalam PRU-13, namun perkara sebaliknya pula berlaku, akibat terlalu yakin dan selesa.

Dalam pada itu, beliau meng­ingatkan ahli-ahli UMNO supaya tidak menjadi anai-anai yang merosakkan parti dari dalam hingga mengakibatkan wadah perjuangan orang Me­layu itu tumbang dan kalah.

Noh turut memberikan analogi, UMNO seperti sebatang pokok rendang dan yang akan menguatkannya adalah akar tunjangya iaitu ahlinya dan pada masa sama, beliau tidak menafikan kekuatan parti itu amat bergantung kepada sokongan di peringkat cawangan seluruh negara.