UTUSAN: Apakah yang Tan Sri harapkan menerusi Perhimpunan Agung UMNO 2017 kali ini?

BADRUDDIN: Kali ini kita akan menghadapi PRU-14, mak­nanya perwakilan dan ahli-ahli UMNO di semua peringkat harus bersiap sedia berjuang bermati-matian untuk mempertahankan amanah dan kuasa.

Ahli UMNO jangan lupa wasiat perjuangan kita iaitu perjuang­an kita bukan mudah, kini obor perjuangan ada di tangan. Kita harus perjuangkan untuk anak-anak cucu kita pada masa kini dan akan datang.

Apakah pesanan Tan Sri kepada para perwakilan yang ha­dir pada perhimpunan kali ini?

Kita harus sentiasa siap sedia, berani berdepan dengan dugaan mendatang, jangan biarkan perhimpunan ini terakhir kita memerintah. Kita mahu pada perhimpunan akan datang BN yang didokong oleh UMNO terus memerintah. Jadi dalam perhimpunan ini kepentingan peribadi tidak boleh diagung-agungkan, yang penting perjuangan parti kita.

Kita harus akur arahan Pre­siden, taat kepada perjuangan dan yang penting kita mesti ta­namkan semangat pada diri kita bahawa apa yang diperjuangkan ini kerana Allah, bangsa, tanah air, anak cucu sama seperti yang diperjuangkan oleh nenek mo­yang kita. Persahabatan, permuafakatan dan kesetiaan kita harus dipupuk sentiasa kerana UMNO adalah parti perjuangan bukan parti kebendaan.

Pada pandangan Tan Sri ba­­gaimana untuk setiap ahli mengekalkan momentum semangat berkobar-kobar seperti di Dewan Merdeka sehingga PRU-14.

Apa yang kita lakukan ini adalah jihad. Jangan berkira itu dan ini, maknanya penting untuk kita dapatkan majoriti satu pertiga dalam Dewan Rakyat. Parti ini yang tertua di dunia, parti yang lama memerintah dan perjuangan harus diteruskan bukan semasa hanya perhimpunan ini tetapi sentiasa apabila seruan datang di peringkat kepemimpinan, kita terus bersama turun, jangan pertikaikan itu dan ini. Kalau kita pertikaikan akhirnya kita akan rugi. Akhirnya maruah kita, parti keramat, parti yang lama memerintah kecundang.

Kita harus pertahankan jangan sekali-kali kita biarkan parti kita atau komponen BN diserang, kerana kalau kita tak pertahankan parti lawan akan mengalahkan kita. Kita harus mengalahkan mereka dahulu. Semangat kekitaan, semangat perjuangan dan semangat menang mesti ada dalam setiap ahli UMNO.

Mungkin pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 ini ada pihak tertentu memulakan gerakan melobi sebagai calon PRU-14. Apakah nasihat dan pesanan Tan Sri kepada mereka?

Sebagai umat Islam kita kena berpegang bahawa kedudukan kita ini ialah ketentuan Allah, kita tak dapat sesuatu tanpa izin Allah. Yang penting parti. Allah akan letak kita kalau kita jujur dan ikhlas mungkin ada hikmah kalau kita tak terpilih. Hikmah di sebalik sesuatu kejadian, kita kena fikir apakah perjuangan kita ini untuk diri sendiri atau untuk parti, bangsa atau tanah air. Saya selalu pesan UMNO itu parti perjuangan, saya pesan selalu, bukan parti kebendaan. Kita masuk UMNO sebab nak mengenang budi orang terdahulu, berikan pula obor perjuangan kepada anak cucu kita.

Bagaimana Tan Sri melihat penyatuan dalam kalangan ahli sekarang, adakah UMNO dalam keadaan paling bersedia untuk menghadapi PRU-14?

UMNO telah bersedia untuk menghadapi peperangan pilihan raya, di samping kita berjuang kita turut bersatu padu. Dua tahun lalu kita berhadapan dugaan namun atas kebijaksa­naan Presiden semua dapat diatasi. Kita dapat lihat dalam perjuangan UMNO ini tagline ialah persahabatan. Presiden bawa semangat persahabatan, kasih sayang yang mendalam antara kita. Kita adalah sahabat dan ada kasih sayang.