Beliau turut menuduh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad bersekongkol dalam perkara itu apabila memaklumkan rumah terbabit sudah siap dibina dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Jamal mendakwa, pembinaan rumah mampu milik yang sepatutnya dibina dengan kawasan perumahan mewah di Semenyih tidak wujud.

“Selepas Iskandar maklumkan rumah itu dibina, saya sudah beberapa kali periksa kawasan terbabit tetapi tiada apa-apa.

“Apa yang ada adalah rumah mampu lihat dan bukannya rumah mampu milik seperti dimaklumkan,” katanya dalam sidang akhbar Rumah Selangorku hanya retorik kerajaan Selangor di Semenyih, dekat sini hari ini.

Beliau turut mengedarkan ki­ra-­kira 1,000 kilogram ikan dan aiskrim percuma di sana.
Jamal berkata, pembinaan rumah berkenaan sepatutnya bermula 2008 bersama perumahan mewah terbabit.

“Kawasan perumahan mewah tersebut sudah lama siap dan bertukar tangan pemiliknya, tetapi rumah mampu milik masih belum dibina,” katanya.

Justeru, beliau berkata, beliau akan ‘berkampung’ di hadapan pintu masuk kawasan perumahan mewah itu selama tiga hari bagi membantah situasi berkenaan.