Jemputan itu dimaklumkan sendiri Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos yang mana ia seolah-olah satu simbolik bagi menunjukkan usaha pihaknya yang mengambil berat terhadap isu kos hidup yang menghimpit rakyat Selangor ketika ini.

"Kalau Azmin Ali lalu kat depan restoran ini kalau nak singgah, kami alu-alukan. Tapi kalau nak datang, kena beritahu awal sebab saya sendiri akan masak untuk menteri besar.

"Begitu juga kepada Ng Suee Lim (wakil rakyat DAP kawasan Sekinchan), nak datang pun beritahu dan boleh tengok kehebatan saya memasak," katanya ketika ditemui selepas majlis pembukaan restoran itu di Sekin Fisherman Village Hotel & Resort, di sini.

Tambah Jamal, pembukaan restoran makan tengahari percuma tidak mengira fahaman politik.

"Ahli DAP,  Pas, PKR dan Amanah boleh datang. Cuma yang tak boleh datang dan makan ialah Myanmar, Indonesia Bangladesh dan warga asing lain," kata Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu.

Jamal berkata, program makan tengah hari percuma itu diadakan setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 12 tengah hari hingga pukul 2.30 petang yang mana ia turut mendapat bantuan serta kerjasama daripada pelbagai badan dan pertubuhan bukan kerajaan.

"Banyak pertanyaan kepada saya sebelum ini kerana ada yang kata banyaknya duit saya nak diberikan kepada ribuan orang yang makan tengah hari percuma.

"Sebenarnya, bukan saya seorang saja menjayakan program ini. Contohnya, saya menyediakan tempat, logistik dan sebagainya, rakan-rakan NGO menyumbangkan keperluan lain, ujarnya yang mana Restoran Gabungan NGO 1Malaysia pertama dibuka di Jalan pahang, Kuala Lumpur pada 16 Oktober lalu.- UTUSAN ONLINE.