Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, tawaran itu dibuat kerana beliau menyanjung tinggi prinsip demokrasi dan menyedari betapa perlunya institusi UMNO dipertahankan demi kelangsungan perjuangan mempertahankan nasib agama, bangsa dan tanah air.

Katanya, jika diberi mandat oleh ahli, beliau yakin dapat membantu parti dalam usaha untuk kembali bangkit selepas melalui episod hitam dan pahit kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Saya fikir, UMNO tidak boleh terlalu lama meratapi kekalahan yang menyebabkan hilangnya kuasa tampuk pemerintahan negara, sebaliknya perlu segera menyusun semula parti dan jenteranya bagi membolehkan institusi keramat ini terus relevan buat orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

“UMNO juga tidak boleh terus dibayangi oleh imej dan persepsi negatif yang bersandarkan pelbagai faktor yang tidak adil dalam pertimbangan penghakiman kepada parti ini oleh majoriti pengundi dalam PRU-14,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebaliknya, tambah beliau, UMNO harus berani melakarkan imej baharu yang lebih disenangi dan diyakini oleh rakyat jelata sekali gus memadam imej lama untuk disimpan dalam lipatan sejarah parti. - UTUSAN ONLINE