Menurut beliau, pelantikan ini memerlukan komitmen beliau selaku pemimpin UMNO negeri untuk mengembalikan semula semangat ahli-ahli parti di Melaka yang selama ini menyokong UMNO seterusnya memperkukuhkan kedudukan parti berikutan kekalahan pada pilihan raya umum lalu.

“Sudah pasti jawatan ini (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Setiausaha Kerja UMNO) jauh berbeza namun saya akan berusaha memastikan kepercayaan diberikan Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dibalas dengan memperkuatkan semula jentera UMNO di Melaka.

“Barisan Nasional (BN) menguasai politik negara selama 60 tahun dan saya bertekad untuk membina semula keyakinan ahli UMNO Melaka bagi menebus kekalahan kita pada Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Ahmad Zahid menerusi satu kenyataan hari ini mengumumkan barisan Ahli Majlis Tertinggi UMNO bagi lantikan penggal 2018-2021 dan senarai pengerusi, timbalan pengerusi serta setiausaha badan perhubungan di semua negeri.

Ab. Rauf yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah diumumkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baharu menggantikan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Beliau yang berusia 53 tahun dilantik sebagai Setiausaha Kerja UMNO sejak April 2009 menggantikan Brig. Jeneral (B) Datuk Husainay Hashim, merupakan bekas Setiausaha Kerja Pemuda UMNO dan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang.

Bekas Setiausaha Kerja Pemuda UMNO, Datuk Mohd. Sumali Reduan diumumkan sebagai Setiausaha Kerja UMNO baharu menggantikan Ab. Rauf. - UTUSAN ONLINE