Dalam tempoh beberapa bulan mendatang ini membilang detik pilihan raya umum, sesiapa pun akan digoda dan dinoda oleh orang tertentu.

Mereka akan menjolok pera­saan sehingga kita akan berasa marah dan tidak lagi dapat menim­bang sesuatu dengan fikiran yang waras.

Ingatlah apa yang telah terjadi apabila kita disogok dengan fitnah dan tuduhan yang tidak berasas.

Pepatah Inggeris berkata, Beware of Greeks bearing gifts atau “Berjaga-jagalah apabila orang Greek membawa hadiah”. Wilayah Troy jatuh ke tangan orang Greek kerana mereka menerima hadiah kuda kayu yang diberi oleh orang Greek.

Begitu juga dengan orang yang akan datang ketika pilihan raya untuk membuat janji-janji yang memikat nafsu rakyat.

Mereka sanggup membuat apa jua janji kerana mereka tahu mereka tidak akan dapat menubuhkan kerajaan yang akan bertanggungjawab menunaikan janji-janji itu.

Harus diingat, tujuan pilihan raya untuk membentuk kerajaan. Retapi jika tersalah pilih, mereka akan mendapat kerajaan dan para pemimpin yang hanya asyik untuk berkuasa sahaja.

Kata pepatah Barat, A people deserves the Government it gets atau lebih kurang maksudnya “Sesuatu bangsa mendapat kerajaan yang padan bagi bangsa itu”. Jika kita hendak kerajaan yang baik, kita akan dapat kerajaan yang baik, tetapi jika sengaja memilih kerajaan yang buruk, akibatnya mendapat kerajaan yang buruk.

Pada 1946, orang Melayu tertekan dengan rancangan British mengambil-alih negeri-negeri Melayu. Dalam ketakutan, me­reka bersatu padu dan menentang British.

Semangat yang ada pada 1946 ialah semangat perpaduan yang menyatupadukan bangsa tanpa mengira raja atau rakyat, daerah atau keturunan.

Malaysia yang dipimpin Barisan Nasional ditunjangi UMNO mempunyai masa depan cerah.UMNO bukan komunis atau sosialis atau kapitalis. UMNO tidak ekstrem. Yang jernih di­terima, yang keruh dibuang.

UMNO tidak terkongkong dengan apa-apa ideologi. UMNO mengakui kelemahan yang ada dan cuba mengatasi kelemahan itu.

Yang UMNO mahu ialah supaya semua rakyat Malaysia hidup bahagia. Dan terpelihara daripada segala malapetaka ciptaan ‘fitnah’ manusia dan dihormati oleh dunia.