Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, tindakan itu penting bagi mengelak berlaku salah faham dan kekeliruan yang boleh menjejaskan nama baik negara di persada dunia.

Menurutnya, sebagai sebuah negara demokrasi, kerajaan me­ngalu-alukan sebarang kritikan daripada pembangkang namun ia perlu bersifat untuk memperbaiki keadaan dan bukannya bermotifkan politik semata-mata.

“Kita boleh terima kritikan yang dilakukan secara terbuka tetapi kita tidak mahu yang bersifat politik seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) muflis dan Malaysia sebuah negara rasuah. Tuduhan sedemikian hanya akan menimbulkan perspektif tidak baik dalam kalangan pelabur.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pun sebelum ini mengakui Saudi Aramco (pelabur dari Arab Saudi) nyaris-nyaris mahu menarik diri daripada mela­bur ke negara ini kerana adanya berita tidak betul daripada pembangkang. Mereka bawa pelaburan berbilion ringgit dan manfaatnya adalah untuk kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penutup Kursus TOT Pemimpin Berinformatif anjuran Biro Pene­rangan MIC di sini hari ini.