Setiausaha Agung DPIM, Muhamad Amin Fahmi Solahuddin menjelaskan, wakaf korporat lebih signifikan kepada Tabung Haji berbanding kaedah pentadbiran konvensional yang jelas lebih memudaratkan.

Malah, tambahnya, Tabung Haji juga akan lebih diyakini sebagai entiti pengurusan dan pelaburan dana jemaah haji melalui kaedah tersebut.

“Menerusi kaedah wakaf korporat, aset-aset Tabung Haji akan terus dilindungi dan dikekalkan berpanjangan daripada dipindah milik. Ini bagi memastikan aset-aset tersebut kekal di tadbir urus oleh badan amanah umat Islam.

“Sistem ini juga akan memperlihatkan Tabung Haji ditadbir oleh barisan ahli lembaga pengarah yang berintegriti dan mereka yang ahli dalam bidang syariah dan tadbir urus korporat selain mengambil kira pandangan badan bebas seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, tambah Muhamad Amin Fahmi, DPIM melihat Tabung Haji sebagai sebuah entiti pelaburan dan perdagangan Muslim yang strategik di mana sebarang perubahan terhadapnya akan memberi impak kepada orang Islam secara keseluruhan.

“Setiap keputusan yang dibuat mengenai Tabung Haji wajib mengambil perhatian terhadap objektif dan hasrat asal penubuhannya dan DPIM menyokong penuh usaha pihak berwajib jika terdapat sebarang salah laku maka perlulah disiasat dan dibawa ke muka pengadilan dengan segera serta secara menyeluruh.

“DPIM bersedia menyumbang kepakaran dalam usaha menambah baik mekanisme tadbir urus Tabung Haji dengan kepakaran ahli-ahli DPIM yang terdiri daripada mereka yang terlibat dalam bidang koporat dan mempunyai pengalaman perniagaan yang luas,” katanya. - UTUSAN ONLINE