ISAMIL SABRI
ISAMIL SABRI 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut meminta Khairy menghormati keputusan yang dilakukan secara berkumpulan berbanding pandangan peribadi.

Malah, Ismail Sabri berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga tidak meminggirkan Khairy dengan memilih Ahli Parlimen Rembau itu sebagai Pengerusi jawatankuasa bagi menggubal bajet alternatif pembangkang.

“Saya rasa sebagai bekas Ketua Pemuda dan pemimpin lama dalam UMNO, beliau patut tahu apa risiko dan apa yang perlu dilakukan.

“Saya tak boleh beri andaian sama ada beliau sengaja melakukan provokasi atau tidak. Namun, sebagai rakan baik Khairy, saya mahukan beliau kembali jadi ahli pasukan yang baik untuk UMNO,” katanya kepada pemberita di akhir Perhimpunan Agung UMNO 2018 di sini hari ini.

Semalam, Khairy dilaporkan mengkritik ucapan dasar Ahmad Zahid yang tidak memberikan gambaran yang jelas mengenai hala tuju parti Melayu itu.

Khairy mendakwa Ahmad Zahid tidak memperincikan sama ada mahu menjadi pembangkang yang kuat atau mahu membentuk kerajaan perpaduan dengan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH).

Ucapan berkenaan turut didakwa tidak memberi fokus hala tuju yang diharapkan oleh parti, selepas UMNO kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.-UTUSAN ONLINE