Izzana Salleh
Izzana Salleh

Sosok tubuh yang langsing ditambah rupa paras ala artis Bollywood merupakan bonus yang membuatkan kepala menoleh dua kali untuk melihat gadis tinggi lampai ini.

Ramai tertanya-tanya siapa sidia ini namun bagi ahli dan penyokong setia UMNO, Izzana, 31, walaupun tidak dikenali secara peribadi pasti mengingatkan mereka kepada figura yang tidak asing lagi dalam parti itu yang kini menerajui Pergerakan Wanita UMNO.

Tidak salah lagi, Izzana ialah puteri bongsu Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil atau mesra dipanggil Kak Ijat.

Lahir dalam keluarga ahli politik, Izzana tidak boleh lari dari dunia politik. Walaupun cuba memilih bidang lain iaitu bioteknologi ketika mengambil ijazah pertama di Universiti Cal State, Pamona di Amerika Syarikat (AS) dia akhirnya pasrah bahawa DNA politik memang mengalir dalam darahnya.

“Kebelakangan ini memang ada minat dalam bidang polisi dan politik sebab Zana dapat lihat bagaimana impak yang dapat diberikan kepada komuniti sama ada yang kecil atau terbesar dalam negara, apa yang dapat dilakukan oleh seorang individu atau sebuah parti,” katanya semasa temubual eksklusif dalam slot Sembang Online bersama Utusan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 baru-baru ini.

Didorong minatnya itu ditambah kesungguhan untuk memperkaya ilmu dalam bidang berkaitan, Izzana kemudiannya menyambung pengajian peringkat sarjana dalam Pentadbiran Awam di Universiti Harvard.

Yang pasti, gadis bijak ini tidak mahu sekadar menjadi aksesori kerana ketinggian, rupa paras atau susur galur keluarga tetapi mempersiapkan diri untuk memberi sumbangan secara ikhlas kepada parti dan negara.

Lalu bukan setakat satu, dalam usia muda Izzana memiliki dua sarjana iaitu satu lagi dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari Kolej Imperial London.

“Dari segi idea, jika ada apa yang boleh disumbangkan, Izzana ikhlas melakukannya. Kalau boleh Izzana juga hendak mengajak anak muda lain yang berminat untuk melibatkan diri,” katanya ketika ditanya apa yang boleh disumbangkannya kepada UMNO sebagai ahli parti.

Sebagai anak muda yang belajar di luar negara dan terdedah kepada berbagai-bagai kelompok, dia cukup maklum akan trend atau kecenderungan mereka yang bersikap kritis terhadap pelbagai perkara khususnya parti pemerintah.

“Anak muda sekarang memang kritikal bukan sahaja terhadap UMNO dan kerajaan tetapi terhadap segalanya.

Ini memang cara orang muda, sebab mereka terdedah dengan maklumat secara maya dan sebab itu kami dah fasih dengan informasi yang ada.

“Bukan fasih dengan cara hendak mentadbir kerajaan atau macam mana untuk mentadbir parti politik tetapi mereka memang ada banyak soalan kritikal,” ujarnya.

Justeru jika UMNO mahu lebih terbuka kepada anak muda katanya, parti itu kena bersedia bukan sahaja dalam menerima kritikan bahkan menjawab balik dengan fakta yang jitu terutama dalam era digital kini apabila cabaran berita palsu dan fitnah berlegar dalam media sosial.

“Kita perlu sedar bahawa ini bukan lagi hal ehwal politik dan kerajaan sahaja. Apa sahaja yang kita buat pun akan terima kritikan.

“Kita buat satu benda baik mungkin beribu-ribu orang tengok (dalam media sosial), 20 bagi komen, tiga yang memang akan sebut perkara buruk.

“Tetapi kita kena faham bahawa pertama, ada pengasingan antara diri kita sebagai individu dan posisi yang kita pegang.

Kedua, dalam era sekarang kalau kita hendak maju sebagai ahli politik dalam sesebuah negara memang kena terima kritikan kerana kita tahu majoritinya adalah retorik politik dan agenda untuk menjatuhkan institusi atau maruah” ujarnya.

Cukup arif dengan kecenderungan ‘tentera media sosial’ membuat serangan peribadi, Izzana sudah bersedia menghadapinya.

“Kalau seseorang itu minat ‘public life’ atau nekad menjadi ahli politik, dia kena bersedia tebalkan kulit, tebalkan telinga dan muka sebab itu memang hakikat zaman sekarang dengan sosial media semuanya boleh,” katanya.

Izzana bagaimanapun berpendapat pengguna media sosial khususnya anak muda perlu diberi pengajaran supaya menjaga etika.

“Kalau dia berani buat pada orang lain, tunggu…karma akan datang hantar balik 10 kali ganda kat kita. Jadi kalau kita hendak buat kerja, kena kerja dengan ikhlas. Kalau kita kata ada isu yang tidak betul, cakap fakta, jangan nak serang sekadar untuk menyerang sahaja. Kena ada etika!

Kalau betullah kita hendak menjadi negara terbaik di dunia,” ujar gadis ini dalam nada lembut tetapi tegas. –  UTUSAN ONLINE