Beliau yang enggan mengulas lanjut berkata, apa yang ditekankan dalam pemilihan kali ini adalah semua perwakilan dapat memilih calon terbaik.

“Tidak apalah, itu cadangan daripada dia (Tengku Razaleigh Hamzah). Yang kita berikan penekanan, pilih yang terbaik dalam kalangan yang baik-baik,” katanya pada majlis perjumpaan khas UMNO di Dewan Tun Razak Temerloh di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin.

Baru-baru ini Tengku Razaleigh dilaporkan ‘mencabar’ dua pesaingnya dalam merebut jawatan Presiden UMNO pada pemilihan kali ini iaitu Ahmad Zahid dan Khairy Jamaluddin untuk berdebat.

Selain Tengku Razaleigh, Ahmad Zahid dan Khairy, empat lagi calon yang akan bertanding bagi mengisi jawatan nombor satu dalam UMNO ialah penulis blog, Rahmat Azim Abdul Aziz, Rosile Saat (UMNO Bangi), Mohamed Iqbal Maricair (UMNO Bandar Tun Razak) dan Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin (UMNO Iskandar Puteri).

Sementara itu, dalam usaha mentransformasikan parti, UMNO menganjurkan majlis pertemuan dengan semua calon-calon UMNO bagi pemilihan parti di setiap negeri.

Ahmad Zahid berkata, pertemuan yang bermula di negeri itu itu akan berakhir sehari sebelum pemilihan parti yang dijadualkan pada 30 Jun ini.

“Kita menganjurkannya bagi memberi peluang kepada semua calon untuk memperkenalkan diri atau untuk terus menjalinkan hubungan yang rapat dengan perwakilan di seluruh negara.

“Semua boleh ikut (calon dan perwakilan) dan lokasi pertama di Pahang sebelum malam ini kita jumpa perwakilan di Selangor pula,” katanya. - UTUSAN ONLINE