Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, serangan yang dilemparkan oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad itu adalah sangat tidak bertanggungjawab.

"Tuduhan itu merupakan serangan jahat kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan ditambah pula dengan dakwaan kita (BN) akan menipu dalam PRU-14.

"Malah, lebih tidak patut apabila Dr. Mahathir menggalakkan rakyat untuk turun berdemonstrasi sekiranya dakwaan yang dilemparkan itu berlaku," katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian selepas menyaksikan pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) antara syarikat A-BIO Sdn. Bhd. (A-BIO) dengan Ain Medicare Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Eksekutif MIGHT, Datuk Dr. Mohd. Yusoff Sulaiman, Pengerusi A-Bio, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd. Nor serta Pengerusi Ain Medicare Sdn. Bhd., Datuk Wan Ariff Wan Hamzah.

Beliau mengulas kenyataan Dr. Mahathir dalam sebuah forum semalam  yang tidak menolak kemungkinan pengisytiharan darurat itu boleh dilakukan selepas PRU-14 sekiranya undi rakyat tidak memihak kerajaan BN. - UTUSAN ONLINE