Menteri Besar yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya sudah menjangkakan gabungan tersebut tidak akan mampu menggugat Pas di Kelantan.

Kata beliau, ini terbukti apabila Pas berjaya menambah kerusi dan majoriti manakala calon PKR pula gagal memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen di negeri ini.

“Pakatan Harapan gagal mendapat sebarang kerusi sebab pendekatan mereka tidak sesuai di Kelantan, berbanding di pantai barat,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perhubungan Pas Kelantan, di sini hari ini.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Pas memenangi 37 kerusi DUN, Barisan Nasional (BN) lapan kerusi manakala PKR gagal menang sebarang kerusi.

Di peringkat Parlimen, Pas menang sembilan daripada 14 kerusi manakala BN lima kerusi.

Dalam PRU-13, Pas menang 32 kerusi DUN dan sembilan kerusi Parlimen.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, antara faktor lain Pas menang besar di Kelantan ialah hasil sokongan pengundi muda dan semangat mahu mempertahankan kerajaan sedia ada oleh anak Kelantan yang di perantauan.

“Kita sangat menghargai sokongan mereka dan berterima kasih kepada seluruh jentera serta petugas yang membantu Pas menang.

“Prestasi kita amat baik, jumlah kerusi yang mendapat majoriti melebihi 5,000 undi sebanyak enam kerusi, majoriti 2,500 hingga 5,000 undi 13 kerusi.

“Majoriti 1,000 hingga 2,000 undi 12 kerusi manakala majoriti kurang 1,000 undi ialah enam kerusi. Jadi ini menampakkan bahawa sokongan rakyat bertambah,” katanya.

Ahmad memberitahu, beliau akan mengumumkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selepas senarainya diperkenankan Pemangku Raja Kelantan dalam masa terdekat. - UTUSAN ONLINE