Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Kangar, Ramli Shariff berkata, penggunaan cara sedemikian yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu menjadi medium paling berkesan kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu-isu rakyat secara pantas.


Kata beliau, ahli-ahli kumpulan tersebut yang bukan sahaja terdiri daripada pengarah-pengarah agensi kerajaan malah Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man sendiri yang menjawab dan memantau isu-isu dibangkitkan secara dekat.


“Ini menyebabkan hampir tiada isu-isu berbangkit oleh rakyat, khususnya penduduk di Parlimen Kangar yang disuarakan mereka ketika saya turun padang berjumpa masyarakat sejak beberapa hari lalu.


“Seperti yang kita tahu, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan, Chan Ming Kai menggunakan isu-isu ini untuk meraih populariti,” katanya ketika ditemui dalam majlis mesra media di sini hari ini.


Yang turut hadir Menteri Besar yang juga calon BN Bintong, Datuk Seri Azlan Man dan calon BN Kuala Perlis, Datuk Azam Rashid.


Kumpulan media sosial telegram, Aduan [email protected] yang diwujudkan beberapa tahun lalu dengan keahliannya mencecah 1,400 orang, telah berjaya menjadi medium berkesan dalam menyelesaikan isu-isu rakyat di peringkat bawahan secara pantas. 


Menurut Ramli, isu-isu yang berjaya diselesaikan dalam kumpulan media sosial tersebut adalah antaranya longkang tersumbat, jalan berlubang, masalah bekalan air dan lampu jalan yang tidak menyala.


Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Ming Kai berpindah ke kerusi Parlimen Alor Setar, Kedah.


Dalam PRU-14, Ramli yang buat pertama kalinya memasuki gelanggang pilihan raya bakal berhadapan saingan tiga penjuru membabitkan calon PKR, Nor Amin Ahmad dan Mohamad Zahid Ibrahim dari Pas. - UTUSAN ONLINE