Bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhd. Farhan Khairuddin berkata, kepercayaan mahasiswa terhadap UMNO tidak akan pernah tergugat, malah terus ke hadapan bersama kepemimpinan parti bagi membela nasib agama dan bangsa.

Katanya, persepsi yang mengatakan UMNO tidak lagi mendapat tempat dalam kalangan mahasiswa adalah tidak tepat sama sekali dan sekadar taktik yang digunakan oleh pihak pembangkang untuk melemahkan moral perjuangan parti.

“UMNO dilihat sebagai parti yang sentiasa dekat dengan anak muda iaitu memberi peluang kepada mereka untuk bersuara dan menyumbang idea ke arah pembangunan negara.

“Ini dapat dibuktikan menerusi pelancaran Transformasi Nasional 2050, malah saya sendiri pernah diberi peluang untuk lantang bersuara di Perhimpunan Agung UMNO dan segala idea dan pandangan di­terima dengan baik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

UMNO akan menyambut 
ulang tahun ke-71 penubuhannya pada 11 Mei ini dan satu sambutan besar-besaran akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan penyertaan 140,000 ahlinya.

Sambutan tersebut bakal mencatatkan sejarah sebagai acara ulang tahun terbesar UMNO sejak penubuhannya.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Belia, Ridhwan Rosli berkata, UMNO adalah parti keramat orang Melayu dan mempu­nyai visi dan misi yang jelas bagi menjaga kedaulatan negara.

“Anak muda sendiri sudah boleh menilai secara rasional perbezaan antara visi dan misi UMNO berbanding parti lain dalam membentuk pentadbiran negara.

“Perjuangan UMNO sejak dari dahulu lagi adalah bagi menjaga kebajikan dan kemakmuran rakyat dan ini berbeza dengan hasrat sesetengah parti yang sekadar inginkan kuasa bagi kepentingan sendiri,” ujarnya.

Sementara itu Setiausaha Agung Majlis Belia Negeri Sembilan, Khairul Nizam Mohd. Sopery berkata, kebijaksanaan pemimpin UMNO dengan menggunakan pendekatan baharu bagi membangunkan negara pada masa depan mendapat sokongan penuh anak muda.

“Dasar yang dibangunkan seperti Transformasi Nasional 2050 bukan sahaja meningkatkan populariti Perdana Menteri, malah memberi peluang kepada anak muda mencorakkan negara bagi 30 tahun akan datang,” katanya.