Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, isu yang berbangkit sejak Mei lalu itu, akhirnya dapat diselesaikan setelah pihaknya melantik sementara Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Mohd Syafiq Anas Abdullah sebagai pemangku Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak.

Katanya, sebelum ini, terdapat rungutan daripada pengusaha kenderaan perdagangan terutama pemilik lori di negeri ini terhadap kelewatan mendapatkan permit daripada LPKL ekoran ketiadaan Pengerusi dan Ahli-ahli Lembaga LPKP Sarawak yang bermesyuarat untuk menyelesaikan permohonan mereka.

"Kekosongan dalam Lembaga LPKP Sarawak berlaku apabila individu yang dilantik oleh kerajaan terdahulu meletak jawatan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), manakala pelantikan baharu belum dibuat sehingga kini.

"Memandangkan jawatan dalam Lembaga LPKP bagi Sabah dan Sarawak merupakan lantikan politik, maka kementerian perlu mengemukakan senarai nama individu yang dicadangkan kepada Perdana Menteri untuk diluluskan terlebih dahulu," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kelulusan (STK) LPKP Sarawak di Pusat Maklumat Islam Kuching di sini hari ini.

Yang turut hadir, Mohd Syafiq Anas dan Pengarah LPKP Sarawak, Razami Mohamad Jamali.  

Mengulas lanjut, Anthony berkata, isu kelewatan permit bagi kenderaan perdagangan hanya berlaku di Sarawak memandang Pengerusi LPKP Sabah masih mengekalkan jawatan sehingga kini, manakala di Semenanjung, proses meluluskan permit adalah di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Justeru, ujarnya, kementerian memutuskan untuk melantik sementara Mohd Syafiq Anas sebagai pemangku Pengerusi LPKP Sarawak bagi membolehkan mesyuarat berhubung permohonan permit diadakan secara berkala pada setiap bulan mulai Oktober nanti.

"Kita juga sudah menyelesai dan meluluskan permohonan permit yang tertangguh sejak Mei lalu dengan mengadakan mesyuarat sebaik sahaja pemangku LPKP Sarawak dilantik.

"Saya difahamkan ramai pengusaha kenderaan perdagangan membeli lori sebelum September ini kerana mengambil kira pada masa itu dikecualikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan belum terlaksananya sistem cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST)," katanya.

Mengenai Lembaga LPKP Sarawak yang baharu, Anthony memberitahu, beliau tidak dapat menentukan tarikh pelantikan dan siapa individu dicalonkan kerana ia perlu dikemuka dan diluluskan oleh Perdana Menteri terlebih dahulu. - UTUSAN ONLINE