Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Zakaria Sam mengekalkan keputusan terdahulu yang melepas dan membebaskan Siti Madinah Ilias Khan, 56, daripada tuduhan tersebut pada akhir kes pendakwaan.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berpuas hati rayuan pendakwa raya tiada merit.

Siti Madinah didakwa memperdagang wanita yang hanya dikenali sebagai Riamis, 44, bagi maksud eksploitasi dengan tidak membayar gaji mangsa yang merupakan pembantu rumahnya selama dua tahun selain mencederakan wanita tersebut dengan cara memukulnya.

Ahli perniagaan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Lot 5574-Y, Taman Desa Telipot, Kota Bharu di antara September 2013 dan 26 Mei 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE