S. NALLAKARUPPAN

Sedangkan, kata Tan Sri S. Nallakaruppan, individu seperti Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Pre­siden PAN, Mohamad Sabu dan aktivis sosial, Hishammudin Rais yang pernah menjadi mangsa ‘kekuasaan’ Dr. Mahathir sebelum ini galak menyerang bekas Perdana Menteri itu di pentas-pentas ceramah kerana kononnya menyalahgunakan ISA.

Walau bagaimanapun hari ini, kata Presiden Parti Bersatu India Malaysia itu, pemimpin-pemimpin tersebut secara tiba-tiba ‘segan’ untuk membangkitkan mengenainya itu ketika berceramah di atas pentas yang sama dengan Dr. Mahathir.

“Mengapa secara tiba-tiba tidak mahu cakap mengenai ISA? Kenapa bila berdepan dengan Dr. Mahathir tidak mahu cakap? Kenapa?” soalnya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas ceramah Pakatan Harapan diketuai DAP yang membariskan ke­pe­mim­pinan mereka an­taranya Dr. Mahathir, Guan Eng dan Mohamad atau Mat Sabu di Kamunting yang suatu ketika dulu menempatkan kem tahanan ISA.

Mengulas lanjut, Nal­la­karuppan menyi­fatkan Dr. Mahathir se­bagai seorang yang tidak mempunyai prinsip.

Beliau berkata, Dr. Mahathir tanpa segan silu sanggup duduk semeja dengan individu yang dulu pernah menjadi tahanan ISA ketika era pentadbirannya semata-mata kerana ‘cemburu’ dengan kejayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sejak Najib ambil alih pentadbiran, banyak perkara baik yang telah dilakukan untuk rakyat dan negara. Ini menimbulkan rasa cemburu Dr. Mahathir kerana meskipun mentadbir negara selama 22 tahun tetapi kejayaan dikecapi Najib hari ini lebih baik berbanding Dr. Mahathir,” jelas Nallakaruppan.

Dalam pada itu, seorang lagi bekas tahanan ISA, Datuk Lokman Noor Adam menyifatkan tindakan kepemimpinan Pakatan Harapan yang tiba-tiba senyap mengenai isu ISA menyerlahkan sikap ‘matlamat menghalalkan cara’ mereka.

Beliau percaya, pemimpin-pemimpin pakatan itu mengelak daripada bercakap mengenai ISA kerana cuba melenyapkan isu yang suatu ketika dulu menjadi senjata mereka menyerang Dr. Mahathir.

“Inilah realiti pembangkang di negara kita. Kalau mereka ko­nonnya konsisten dalam soal menentang kezaliman, Dr. Mahathir tidak akan ada bersama dengan mereka hari ini,” ujar beliau.