Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu akan dilakukan bersama-sama tapisan kesihatan calon.

Katanya, langkah tersebut menunjukkan betapa penting dan serius BN dalam membuat pemilihan calon.

“Integriti menjadi soal utama dalam pemilihan calon. Tentu­nya perkara sedemikian menjadi perhatian pengundi-pengundi yang mahu melihat personaliti seseorang calon,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama dalam majlis Diskusi Intelektual dan melancarkan buku Nilai Integriti Pelbagai Agama serta Modul Integriti Prasekolah di Ins­titut Integriti Malaysia (Integriti) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pe­ngarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JKM), Tan Sri Othman Mustapha dan Presiden dan Ke­tua Pegawai Eksekutif Integriti, Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff.

Tambah Ahmad Zahid, bagi menjalankan proses tapisan itu, setiap badan perhubungan UMNO negeri dan pengerusi-pengerusi parti komponen perlu mengemukakan senarai nama lebih daripada tiga calon.

Kata Ahmad Zahid, hal ini kerana pihaknya mesti mempunyai calon-calon simpanan yang dapat diterima masyarakat atau para pengundi.

“Bagi yang tidak melepasi tapisan integriti, kita akan ucapkan selamat tinggal,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid lagi, proses tapisan calon berkenaan akan dijalankan oleh unit khas BN dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, selain ujian integriti, daya kemenangan seseorang calon juga dilihat BN.

“Integriti membaluti ciri-ciri penting itu (calon) untuk bertanding pada PRU-14.

“Kita menekankan soal integriti kerana integriti amat abstrak tetapi boleh dilakukan kajian secara empirikal,” ujarnya.