TEO KOK SEONG

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, beliau percaya bahawa tsunami Melayu yang dirancang pembangkang tidak akan menghakis kepercayaan orang Melayu terutamanya terhadap peranan Felda dan Lembaga Tabung Haji.

“Kita semua tahu ini semua hanya gimik politik yang dilakukan pihak tertentu untuk memecahbelahkan orang Melayu dengan pelbagai hasutan tetapi perkara sebegini pasti tidak akan berlaku di dalam negara.

“Dalam situasi sebegini, orang Melayu tidak akan menggadaikan hak mereka sekelip mata malah akan terus mempertahankan institusi mereka sekiranya gabungan pembangkang PKR memperoleh kejayaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad menyifatkan, tsunami Melayu seperti diuar-uarkan oleh pembangkang bertujuan memusnahkan institusi Melayu yang sudah lama bertapak di negara ini.

Menurut Shahrir, tsunami politik yang dirancang pembangkang terutama DAP sebenarnya bermula selepas PRU-13 dengan melakukan serangan kepada institusi-institusi yang penting kepada orang Melayu seperti Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Felda.

ABDUL LATIFF ABU BAKAR
ABDUL LATIFF ABU BAKAR

Sementara itu, Ketua Kluster Warisan dan Pera­daban, Universiti Islam Malaysia (UIM), Tan Sri Prof. Dr. Abdul Latiff Abu Bakar melihat terdapat sesete­ngah pihak yang sengaja mempolitikkan institusi-institusi tersebut demi kepentingan peribadi mereka.

Katanya, strategi yang diguna pakai oleh golongan tersebut adalah mencari kelemahan-kelemahan kecil, lalu sengaja diperbesar-besarkan.

“Serangan ini ibarat satu malapetaka, kerana institusi Melayu ibarat tiang seri terhadap kekuatan orang Melayu. Malangnya, apa yang menyedihkan, terdapat orang Melayu sendiri yang bersubahat dalam serangan tersebut. 
 “Orang-orang Melayu yang seperti ini, mereka mungkin dendam, cemburu, kecewa tidak mendapat habuan atau tidak berpuas hati dengan perubahan pentadbiran. Tetapi bagi saya, cubaan memburuk-burukkan institusi ini tidak lain hanyalah langkah untuk memuaskan nafsu sendiri tanpa memikirkan maruah dan masa depan orang Melayu secara keseluruhan,” katanya.

Tambah beliau, serangan yang berterusan terhadap institusi Melayu dikhuatiri akan menyebabkan perpecahan dan kekacauan dalam negara.