Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, keterangan itu jelas menunjukkan terdapat pihak tertentu mahu menutup cerita sebenar yang menimpa Muhammad Adib.

“Maka apa yang diterangkan oleh Syazlin wajar disiasat oleh pihak polis dan sekiranya ia benar-benar berlaku, ini mengesahkan sangkaan majoriti rakyat bahawa ada perkara meragukan berlaku dalam inkues Allahyarham Muhammad Adib.

“Inkues Muhammad Adib yang maut dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield tahun lepas seharusnya menjadi medium bagi merungkai kebenaran.

“Bagaimanapun setakat ini ia dilihat menjadi `sarkas’ kerana seakan menerima tekanan dan campur tangan Peguam Negara Tommy Thomas,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada Utusan Online malam ini.

Menurut Shamsul Anuar, sekiranya Malaysia tidak mahu inkues itu terus menjadi bahan ketawa dunia, Peguam Negara wajar meletak jawatan dan tidak terlibat dalam kes tersebut supaya Muhammad Adib diberi perbicaraan yang adil, telus dan saksama.

“Ini juga bagi memastikan kredibiliti sistem perundangan dan keadilan negara terpelihara.

“Rakyat melihat apa yang berlaku dalam inkues Allahyarham Muhammad Adib suatu bukti kerajaan PH tidak ‘walk the talk’ untuk berlaku telus sama ada dalam undang-undang, pentadbiran mahupun pelaksanaan kebajikan kepada rakyat,” kata beliau.

Malah, kata Shamsul Anuar lagi, sejak Kerajaan PH mengambil alih pemerintahan, terlalu banyak berlaku insiden yang menjadikan negara ini bahan ketawa (laughing stock) masyarakat dunia.

Kata beliau:

“Bermula dengan dasar-dasar kewangan dan pelaburan yang flip flop, angka-angka ekonomi tidak konsisten dan diputar belit, keputusan demi keputusan yang asyik u-turn, pendakwaan terpilih dan sebagainya.

“Semua perkembangan ini mengakibatkan bukan saja pelabur baharu enggan masuk tetapi yang sudah ada di negara ini pula memindah keluar pelaburan mereka. Ini menyebabkan Kerajaan PH tidak diyakini oleh pelbagai pihak dan secara langsung memberi kesan kepada rakyat.

“Rakyat mahukan pembelaan dan mahu supaya nasib mereka dipelihara. Dengan keadaan kehidupan yang semakin menekan teutama kenaikan kos sara hidup, rakyat sudah tentu terkesan.

“Malah pastinya rakyat akan lebih terasa jika melihat sistem perundangan dan keadilan di negara ini tidak boleh diyakini atau dijamin bebas.” -UTUSAN ONLINE